Sunday, January 18, 2015

Mencari Kehidupan Yang Sempurna

Masih sempat rasanya untuk aku ucapkan selamat datang ke Tahun Baru 2015 buat semua di luar sana. Selamat tinggal 2014 yang penuh dengan dugaan dan cabaran tidak kira untuk negara mahupun diri aku sendiri..pastinya ia meninggalkan seribu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Mencari kehidupan yang sempurna.. pastinya semua orang inginkan kehidupan yang sempurna. Sempurna yang bagaimana? Mungkin sempurna itu boleh diterjemah dengan kesenangan dalam kehidupan. Serba serbi yang diinginkan dalam kehidupan dapat diperolehi dan dinikmati dengan sukacitanya tanpa perlu menunggu masa yang lama untuk memilikinya.

Sempurna pada segenap sudut dalam kehidupan untuk dunia dan akhirat. Dari segi dunianya mungkin memiliki rumah idaman yang lengkap dengan perkakasan dan hiasannya, memiliki kenderaan pilihan yang boleh dipandu mengikut kesesuaian tujuan perjalanan pada bila-bila masa, boleh beli itu dan ini tanpa risaukan duit akan tinggal RM10 bila ceq dekat ATM, memiliki keluarga yang bahagia, isteri atau suami yang penyayang dan memahami, pandai mengambil dan menjaga hati. Dari segi akhirat pula mungkin terpilih untuk solat fardhu di awal waktu secara berjemaah, dapat sedekah pada bila2 masa tanpa ada perasaan berat hati bila nak keluarkan note RM10 dari dompet, dapat baca Al-Quran satu juzuk setiap hari dan khatam setiap bulan, dapat pergi dengar ceramah dan kuliah tanpa runsing kos perjalanan dengan minyak dan tolnya.

Tetapi kita ini memang dijadikan serba serbi tidak sempurna..kan?. Kerana memang telah ditakdirkan begitu sejak azali lagi. Diciptakan ketidaksempurnaan itu sebagai sebahagian dari kehidupan setiap makhluk. Makanya tidak sempurna itu perlu dinikmati dengan redha dan pasrah tanpa ada sebarang perasaan dengki pada insan lain, tanpa ada rasa kecil hati kepada Sang Pencipta kerana menjadikan kita serba tidak mampu untuk memiliki segala keinginan duniawi kita.

Segala yang berlaku di dalam kehidupan kita adalah berlaku dengan izinNya sama ada perkara yang baik mahupun perkara yang salah, salah dari segi undang-undang dunia mahupun undang-undang akhirat. Tetapi pilihan itu datangnya dari diri kita, juga dengan izinNya. Tanpa izinNya kita tidak akan membuat pilihan itu. Faham ke? hihi..

Walau apa sekalipun kehidupan tetap perlu diteruskan. Buatlah segala sesuatu selagi mampu. Aturlah segala perjalanan mengikut percaturan yang diinginkan. Sabar dan tabahlah menempuh dugaan dan cabaran, liku-liku kehidupan. Apa yang pentingnya ialah kita laksanakan sesuatu yang betul, tidak menyalahi peraturan dunia mahupun akhirat, dan berusahalah untuk menambah amal sebagai bekalan untuk kehidupan kita di sana nanti, kerana kesenangan dan kesusahan dunia ini hanyalah sementara. Usia kita yang sekadar 100 tahun adalah sangat sekejap kerana kehidupan kita yang sebenar nanti adalah kekal selama-lamanya tanpa kematian. Akan tetapi suasana kehidupan di sana perlu ditentukan pilihannya sejak dunia ini lagi.

Lebihkanlah persediaan dan bekalan untuk akhirat berbanding usaha untuk mengisi perutmu di dunia ini, pabila kita mati tidak ada gunanya lagi harta, takhta, pusaka, keluarga melainkan amalan kita soleh. Selainnya itu akan dihisab..

                                                        kredit imej dari muslimdoktor.blogspot

Mari fikir-fikir dan renungkan untuk muhasabah bersama.. kita yang tidak SEMPURNA..