Saturday, November 21, 2009

Cinta kepada Allah, itulah cinta yang sejati dan hakiki..

Maha suci Allah yang mencampakkan sifat kasih dan sayang di kalangan hamba-hambaNya supaya mereka kasih mengasihi antara satu dengan yang lain. Kasih, sayang, cinta.. itulah permainan perasaan yang sengaja Allah wujudkan bukan sekadar untuk dijadikan fitrah lumrah kehidupan hambaNya, bahkan untuk menjadikan sebagai ujian kepada hambaNya jua...

Ajal, maut, jodoh, pertemuan, perpisahan.. semuanya telah diaturkanNya sebelum kita dilahirkan ke dunia ini lagi.. di dalam setiap pertemuan akan ada perpisahan, di dalam setiap pertemuan akan ada rasa kasih dan sayang, sayang kerana saudara sesama agama, sayang kerana rakan seangkatan, saya kerana menghormati dan sayang kerana terpaut dengan diri seseorang...

Pastinya setiap manusia tidak kira lelaki mahupun perempuan ingin memiliki pasangan hidup pilihannya. Pasangan hidup yang memiliki ciri-ciri yang disukainya. Namun, ketentuan yang telah Allah aturkan tidak dapat dihalangi oleh sesiapa.

Kita merasakan pilihan yang kita buat merupakan pilihan yang tepat untuk kita, tetapi sebaliknya itulah yang berbahaya untuk kita. Dan sesungguhnya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

Ujian dan dugaan sengaja diaturkan olehNya untuk melihat sejauh mana hambaNya ini menempuh dugaan itu dengan menuruti kehendakNya. Adakah si hamba ini benar-benar mentaati perintahNya. Dan dijadikan ujian dan dugaan itu sebagai tarbiah kepada hambaNya. Supaya si hamba itu lebih mengerti yang manakah sepatutnya dia lebih utamakan dan hala yang manakah sepatutnya si hamba tujukan...

Lalu ujian demi ujian, dugaan demi dugaan dilontarkan, sengaja dibuat begitu, sehinggalah si hamba itu benar-benar mengerti apa yang sepatutnya dia perjuangkan.

Cinta telah mengajar manusia hari ini bahwa cinta sesama manusia itu adalah cinta yang suci dan sejati. Lalu diberikan ujian kepada si hamba itu untuk mentarbiahnya agar dia mengerti bahawa sebenarnya cinta yang suci, sejati dan hakiki hanyalah cinta kepada Allah Rabbul a'lamin.

Sesungguhnya, Dialah yang lebih mengerti dan memahami perasaan kita. Dialah yang boleh memenuhi segala impian dan keinginan kita. Dialah tempat mengadu yang paling baik bilamana kita di dalam kesedihan, kegelisahan, kesusahan, keresahan, kesempitan. Dialah yang Maha Mendengar segala luahan hati kita. Dialah tempat meluahkan perasaan bilamana kita gembira, suka, seronok, ceria...

Apabila kita bersama dengan insan yang kita kasih dan cinta, kita akan berasa begitu gembira tidak terkata. Tetapi apabila insan yang kita kasihi itu menolak cinta kita, kita akan berasa kecewa dan hampa. Lalu kegelisahan, kesedihan dan kekecewaan datang melanda hati duka yang lara...

Ketika inilah Allah ingin supaya kita memahami, bahawasanya, cinta manusia itu tiada apa-apa. Sebenarnya cinta yang sejati, cinta kita yang hakiki, cinta yang suci hanyalah cinta kepada Allah yang Maha Mengasihi. Apabila seorang hamba datang kepada Allah selangkah, Allah akan datang kepadanya seribu langkah. Apabila seorang hamba datang kepada Allah sejengkal, Allah akan datang kepadanya sehasta. Apabila seorang hamba datang kepada Allah sehasta, Allah akan datang kepadanya sedepa. Apabila seorang hamba datang kepada Allah dengan berjalan, Allah akan datang kepadanya dengan berlari. Apabila seorang hamba mencintai Allah sendirian, Allah akan mencintai dirinya bersama seluruh para MalaikatNya.

Kasih seorang ibu kepada anaknya tidak dapat dibayangkan. Sedangkan, kasih sayang Allah kepada seorang hambaNya adalah 10 kali ganda dari kasihnya seorang ibu kepada bayinya.

Justeru, ketahuilah wahai diri yang alpa, sedarilah diri yang berdosa, sesungguhnya janganlah engkau tertipu dengan cinta manusia yang hanya sekejap sahaja, sedangkan cinta Allah itu kekal abadi selama-lamanya... Janganlah engkau kecewa dengan cinta manusia yang tidak dapat engkau miliki, kerana cinta Allah itulah cinta yang sejati dan hakiki, dan cintaNya berjuta kali lebih baik dari cintamu kepada manusia yang engkau kejari...

iqbalasmadi
Meru
21 Nov. 09
11.00pm

No comments: