Saturday, September 12, 2009

Cinta, Kasih dan Sayang

Carilah cinta yang sejati,
Yang ada hanyalah padaNya,
Carilah cinta yang hakiki,
Yang ada padaNya Yang Esa,

Carilah cinta yang abadi,
Yang ada hanyalah padaNya,
Carilah kasih yang kekal selamanya,
Yang ada hanyalah pada Tuhanmu..

Di dalam mencari cinta yang sejati,
Banyaknya ranjau kan ditempuhi,
Di dalam mendapat cinta yang hakiki,
Banyaknya onak yang direnangi..

Namun janjiNya kepada hambaNya,
Tidak pernah dimungkiri,
Dan tidak pernah melupakanmu..

Yakinlah kepada Tuhanmu,
Kerna Dialah cinta yang hakiki...



Assalamualaikum w.b.t.

"Janganlah kamu sangka bahawa kamu telah beriman selagi kamu belum diuji"

Setiap seorang yang ingin mendapatkan cinta dari seseorang yang lain, pastinya dia perlu melalui atau melakukan beberapa perkara yang dapat menunjukkan bahawa dia memang cinta kepada orang itu, dan orang itu ingin melihat sejauhmana cinta orang tadi itu kepadanya.

"Tidak sempurna iman seseorang itu selagimana dia tidak menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri"

Maha Suci Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia yang memiliki segala cinta dan kasih sayang yang ada di dalam dunia ini. Dia mencampakkan sedikit sifatNya itu kepada para hambaNya supaya mereka berkasih-kasihan, sayang-menyayangi, hormat-menghormati antara satu dengan yang lain, tidak kira rupa, warna kulit, bangsa mahupun agama.

MELAYU

Bila disebut Melayu, sinonimnya di Malaysia ini, orang Melayu dianggap orang yang beragama Islam dan mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik, sopan, lemah-lembut, peramah, baik hati, tidak pemarah, pemurah dan sebagainya.

Namun sifat yang mulia itu kian dikikis arus perubahan dan peredaran masa. Orang Melayu sudah tidak seperti dahulu lagi. Kau kau, aku aku. Kubur lain-lain. Jangan jaga tepi kain orang lain dan sebagainya.

Aku ingin menginsafi satu kisah, moga sidang pembaca sekalian dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah ini.

Darah yang mengalir dalam diri ini separuhnya adalah darah Melayu. Aku tersedar bahawa aku tidak mempunyai sifat-sifat baik yang aku sebutkan sebentar tadi sepenuhnya. Bahkan sifat sayang-menyayangi sesama insan pun boleh kata belum ada di dalam hati ini. Yang ada cuma sayang dan kasih kepada ibubapa, keluarga dan insan istimewa. Tetapi cinta pada lelaki dan wanita yang lain, biarpun kawan sepejabat, tidak ada atau tidaklah begitu kuat di hati ini.

Hal ini mula aku terfikir pada kejadian petang semalam, aku berada di dalam kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur, sedang dalam perjalanan ke Pudu Raya dengan menunggang motosikal. Sampai satu ketika aku telah terlanggar belakang sebuah motosikal yang berhenti secara mengejut dan menyebabkan papan plat motor tadi patah. Aku cuma kata "sorry" tetapi mungkin tidak kedengaran di telinga mereka dan aku hanya terus berlalu tanpa berkata apa lagi kerana aku sudah lewat dan jalan raya begitu sesak, aku tidak mahu menambah lagi kesesakan.

Tetapi dia tidak puas hati, dia kejar aku and then aku berhenti kat tepi. Katanya aku tak minta maaf, sorry pun tak sebut, sebaik aku langgar motosikal dia. Beberapa patah ayat dia leterkan tapi aku tak brape tanggap apa dia bebel tapi yang last aku dengar, "ni Melayu nih!".

Jadi ini menunjukkan tanggapan dia, sepatutnya Melayu ni mempunyai akhlak yang baik, meminta maaf setidak2nya jika berbuat kesilapan biar tidak sengaja, namun dia sedih kerana aku Melayu yang tidak sebegitu. Dan aku juga sedih aku bukan Melayu yang begitu.

Lalu aku tersedar dengan kata2nya itu. Aku langgar bukan saja nak langgar. Namun sengaja atau tidak, itu tidak boleh dijadikan alasan. Yang pentingnya adalah sifat hormat, kasih sayang itu yang penting.

Bilamana ada perasaan cinta sesama umat, kasih sesama umat, sayang sesama umat, maka dalam hal duniawi pun, sesuatu perkara itu akan jadi bahagia dan mudah. Setiap orang akan memanfaati antara satu sama lain dan setiap orang tidak ada yang rugi.

Jadi sahabat pembaca sekalian, bersamalah kita ambil iktibar dan pengajaran dari ceritaku ini. Bersamalah kita berusaha untuk hidupkan sunnah Nabi s.a.w. dengan wujudkan cinta dan sayang sesama insan kerana Allah. Kerana itu adalah sifat orang Islam dan tidak langsung, orang Melayu juga.

Terima kasih Ya Allah di atas tarbiah Mu ini.

Moga Allah permudahkan urusan kita semua.


Wallahu'alam.


i'm a toddler..tak teh tak teh..

No comments: