Monday, November 23, 2009

The Day Of My Life…

Perjalanan kehidupan dari hari ke hari kian menghala ke arah kompleksi. Lebih mencabar dari hari yang sebelumnya. Persoalan demi persoalan menyinggah di benak fikiran dan hatiku. Ingin bertanyakan bilakah akan ku buat itu dan ini.

Bilakah diriku akan bersedia untuk beralih ke arah kehidupan yang lebih realistik.

Sememangnya dugaan-dugaan yang hadir akan menguji kematangan fikiranku. Lantas berfikir sejenak sebelum membuat keputusan adalah pilihanku. Semoga hati ini terbuka untuk menerima jawapan yang akan diberikan. Menerima alasan dan hujah yang akan dilontarkan. Sehingga ia lemah tidak lagi memberontak dan hanya menuruti tiap langkah yang diaturkan. Sabar dengan apa jua liku dan pancaroba dalam setiap langkah itu.

Teman-teman sekolah yang dulu, teman di tempat kerja yang lama dan baru, mereka semua adalah sebahagian insan-insan yang memenuhi diari hidupku. Detik masa yang dilalui bersama membuatkan aku tidak keseorangan dan banyak perkara yang aku pelajari hasil dari perkumpulan itu…

Teman-temanku itu yang bukan hanya orang muda, malah ada antara mereka yang jauh lebih dewasa, yang sudah memiliki dan melalui ranjau kehidupan yang lebih jauh dariku, yang lebih mengerti dan menghayati perjalanan yang singkat ini. Ketika bersama mereka ku belajar untuk meletakkan diri mereka seperti orang tuaku, tidak mengira meskipun tidak sama tarafnya…

Tanggungjawab, komitmen, kesabaran, semangat, ketabahan, kekuatan dalaman, keimanan, berfikir, merenung… itu adalah sebahagian dari elemen-elemen kehidupan yang ku lalui setiap masa dan saat di dalam hidupku dinihari.

Ujian, cobaan, dugaan, halangan, rintangan, batasan, desakan, rayuan, paksaan, tohmahan, dipermainkan atau memainkan, itu semua adalah sebahagian yang ku lalui dalam hidup yang sekejap dan seketika ini…

Tiada yang lebih baik daripada mentaati perintahNya. Tiada yang lebih menenangkan dari mengingatiNya. Tiada yang lebih berjaya daripada mendapat keampunanNya. Tiada yang lebih cemerlang daripada memperoleh kasih sayangNya. Tiada yang lebih bahagia daripada memasuki syurgaNya.

Namun detik, ketika dan saat masa yang ku lalui tidak sesempurna seperti yang kekasihku harapkan. Tidak seperti yang kekasihku tunjukkan. Tidak seperti yang kekasihku inginkan.

Aku terus alpa dan lebih berani meletakkan diriku di dalam bencana, meletakkan diriku di dalam onar, meletakkan diriku di dalam kelemasan…


Post a Comment