Saturday, October 23, 2010

Dari tanah kita diciptakan, kepada tanah kita dikembalikan

Daripada Abu Hurairah r.a baginda bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu akan tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu". (riwayat Muslim)



Setiap manusia ini diciptakan ada kelebihan dan ada kekurangannya. Ada orang kita lihat, begitu banyak kemahiran, kebolehan, kebijaksanaan yang ada pada dirinya. Kita pun jadi tertarik, tertawan dengan kelebihan dirinya itu, sehingga kita rasakan seperti ingin memiliki dirinya, atau kita ingin kebolehan itu ada pada diri kita. Ada orang kita lihat, ada begitu banyak kekurangan, sehingga kita mahu dia dijauhkan pada diri kita, dan juga tidak sekali-kali mahu dia mendekati diri kita, dan kita tidak mahu memiliki kekurangan itu.

Namun sedarkah kita Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana?. Sedarkah kita bahawa tidak Allah ciptakan sesuatu itu sia-sia?. Sedarkah kita bahawa setiap manusia itu diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan ada sebabnya. Sebab yang paling utama yang aku rasakan ialah sebagai ujian dan dugaan kepada diri sendiri.

Kelebihan yang ada pada diri kita..ya kita suka dan gembira, seronok kerana ada kelebihan itu. Kita seorang yang pandai bersukan, boleh bermain dalam pelbagai jenis permainan.. mahir bermain futsal, badminton, ping pong, bola tampar dan kita juga bijak berbicara, pandai mengambil hati orang lain sehinggakan semua orang suka berkawan dengan kita.. tetapi sedarkah kita sebenarnya ia adalah suatu ujian yang kita tidak nampak.

Kekurangan yang ada pada diri kita..kita tidak pandai bersukan, orang ketawakan kita kerana kita kelihatan bodoh di atas gelanggang, kita dipandang rendah kerana kita tidak ada kemahiran, kita dihina kerana dikatakan kaki bangku, tangan tak bedong dan sebagainya..kita tak pandai berkata-kata seperti orang lain, kita tidak pandai memenangi hati orang lain dan sering berasa kecil hati kerana tidak punyai kebolehan dan kelebihan seperti yang orang lain ada... tetapi sedarkah kita bahawa itu semua adalah ujian dan dugaan yang sengaja Allah berikan kepada kita?.

Sedarkah kita bahawa kita hidup di atas dunia ini untuk diuji?. Untuk diuji sejauh manakah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.. Bagaimana yang dikatakan ia sebagai ujian?. Orang suka dengan kita..kita rasa seronok, tetapi adakah Allah suka dengan kita?. Adakah Allah suka dengan apa yang kita lakukan?. Kita membuatkan orang ketawa berdekah-dekah sehingga lupa saat kematian yang boleh tiba pada bila-bila masa sahaja, adakah kita fikir kita hebat?. bagi kekurangan pula, orang pandang rendah dengan kita, kita rasa tidak berkeyakinan, adakah kita disayangi Allah kalau kita sabar?. Adakah kita disukai Allah kalau kita redha dengan kekurangan itu?. Kita sabar dengan kekurangan, kita semakin dekat dengan Allah. Kita bersyukur dengan kelebihan, Allah juga akan sukai kita. Kekurangan yang mendatangkan kesedihan dan kekecilan hati, itu adalah ujian. Kelebihan yang mendatangkan pujian dan keseronokan, itu juga ujian.

Firman ALLAH S.W.T:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." -Surah az-Zariyat: 56

Mari kita sama-sama bayangkan, kita semua seperti orang lidi. Kemudian kita dipakaikan dengan wajah-wajah yang berlainan dari setiap orang. Ada yang cantik, manis, berkulit cerah, hitam manis, tinggi lampai, rendah, gempal berisi, kurus dan sebagainya. Kemudian setiap orang dari kita diberikan perwatakan yang berbeza-beza dari setiap orang. Ada yang pandai berkata-kata, pandai berjenaka, ada yang pendiam, tidak pandai menarik perhatian orang dan sebagainya. Kemudiannya kita diberikan kemahiran-kemahiran dan kebolehan-kebolehan yang berbez-beza antara sesama kita. Ada yang punyai bakat bersukan, menyanyi, menulis, berpuisi dan sebagainya. Ada yang bijak, ada yang kurang bijak, ada yang hebat dan ada yang biasa saje.

Nah, sekarang kita lihat.. orang lidi itu umpama kita semua yang datang dari alam roh. Kita semua suatu masa dahulu pernah bersama-sama mengaku di hadapan Allah bahawa tiada Tuhan selainNya. Kita semua sama sahaja tiada beza sedikitpun antara satu sama lain. Kemudiaan kita dihantar dan dilahirkan ke dunia. Kita dilahirkan dari perut ibu yang berbeza. Akan tetapi siapakah yang menciptakan kita pada asalnya?. Dari manakah datangnya kita?. Sekarang tanya pada diri masing-masing, dari manakah datangnya sifat-sifat, perwatakan, kebolehan, kekurangan dan segala perkara yang ada pada diri kita?.

Adakah Allah saja-saja berikan kita sifat-sifat yang kita ada pada hari ini?. Adakah Allah saja-saja berikan sifat-sifat pada orang lain yang kita rasa kagum dan tertarik dengannya?. Adakah Allah saja-saja berikan sifat-sifat pada orang lain yang kita berharap tidak datang pada diri kita?.

Satu hari ada seorang pemuda meluahkan perasaannya kepada seorang wanita yang disukainya. Wanita ini punyai wajah yang cantik, lembut perwatakannya, manis senyumnya, baik hatinya, penyayang pula orangnya. Lelaki ini berhasrat untuk melamar wanita ini sebagai teman hidupnya. Wanita ini mendapati lelaki ini tidaklah setampan mahupun kacak seperti Shah Rukh Khan. Lelaki ini tidaklah sekaya Bill Gates. Lelaki ini tiada kenderaan yang mahal-mahal seperti Honda Civic TypeR setidaknya. Lelaki ini juga langsung tiada bakat kemahiran dalam bersukan, tak pandai berkata-kata menarik hati. Dan banyak lagi kekurangan yang ada pada diri lelaki tersebut. Akhirnya wanita itu memutuskan bahawa dia tidak dapat menerima lamaran lelaki itu. Dan lelaki itu pasrah kerana dia sedar mungkin atas kekurangan dirinya itu dia gagal memikat wanita tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam kekurangan itu, Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah mengurniakan sesuatu yang lebih berharga dari dunia dan seisinya. Lebih berharga dari wang, emas dan berlian. Lebih berharga dari bakat-bakat dan kebolehan-kebolehan dunia. Itulah iman dan taqwa.

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu akan tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu".

Maha Suci Allah yang menyayangi lelaki ini, dicampakkan sifat kesabaran dan redha ke atas kekurangan dirinya. Berbekalkan iman yang ada pada dirinya itu, dia berusaha mendekatkan dirinya kepada penciptanya, dia berusaha mematuhi titah perintah penciptanya, dia berusaha menjauhi perilaku buruk yang tidak disukai penciptanya, dia berusaha mengelakkan permusuhan sesama saudaranya atau sesiapa sahaja, dia cuba memberikan yang terbaik dalam khidmatnya kepada masyarakat di sekitarnya, dia melaksanakan tugasnya di pejabat dengan sebaiknya, dan Allah lebih menyayanginya daripada sayangnya wanita tadi kepada kelebihan-kelebihan dunia yang diingininya.

Marilah kita bersama sedar, bahawa hanya iman dan amal yang kita usahakan di waktu kehidupan di dunia ini sahajalah yang dipandang Allah. Wajah kita yang cantik, tampan, kelebihan yang ada pada diri kita sedikit pun tidak pandang. Langsung Allah tak tengok. Yang dilihat Allah hanya hati dan amalan-amalan kita.

Iman, amal, taqwa, itulah yang akan dapat menyelamatkan kita di akhirat kelak. Itulah yang dapat memberikan kita kebahagiaan hidup di akhirat kelak. Kelebihan dunia yang dapat kita miliki hanyalah setakat dunia sahaja. Ia langsung tidak memberikan kita "advantage" untuk kita menarik perhatian Allah. Allah langsung tak terpikat dengan kehenseman dan kecantikan rupa paras kita. Allah tidak langsung melihat kekayaan kita dengan rumah yang berbuah-buah, kereta yang dibeli cash, wang yang tertumpah-tumpah. Allah langsung tak kagum dengan kelebihan kita dalam berkata-kata. Allah langsung tak bangga dengan kebolehan kemahiran kita dalam pelbagai jenis sukan. Sedikit pun Allah tak terkesan.

Justeru, dari tanah kita semua datang dan akhirnya kepada tanah lah kita dikembalikan. Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita dikembalikan. Janganlah kita begitu bangga dengan kelebihan yang kita miliki hari ini. Tak perlulah kita bersedih dengan kekurangan kita hari ini. Berusahalah untuk meningkat iman dan taqwa kepada Allah, moga kita beroleh kelebihan-kelebihan yang lebih baik dari dunia ini, itulah sebagai ahli syurgaNya...

Wallahua'lam..
Post a Comment